AJAL JENGAH JENAZAH ATUK
PEKAN: Hajat dua beradik pulang untuk menghadiri majlis pengebumian datuk mereka yang meninggal dunia lewat petang kelmarin berakhir tragedi apabila seorang maut selepas kereta dinaiki terhumban ke dalam Sungai Tanjung Batu di Kilometer 36, Jalan Pekan-Nenasi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa, Nur Izzati Abd Razak, 19, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta dipandu kakaknya, Nur Elina, 26, terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi jambatan sebelum terhumban ke dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, Nur Elina hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pekan (HP) untuk rawatan lanjut.
Ketika kejadian, dua beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kemaman, Terengganu dari Mersing, Johor untuk menghadiri majlis pengebumian datuk mereka, tengah hari semalam.
Bapa mangsa, Abd Razak Abu Bakar, 60, berkata dia menerima kejadian itu dengan reda walaupun kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh selang sehari.
“Belum sempat datuknya dikebumikan, arwah pula pergi meninggalkan kami, namun tetap menerima kejadian ini sebagai dugaan Allah.
“Mujur, seorang lagi anak saya hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di hospital. Walaupun, keadaannya dilaporkan stabil tetapi masih lagi trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HP.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Izzati kelmarin sebelum arwah bertolak mengikut kakaknya yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Tenggaroh 1, Mersing.
Katanya, anak bongsu daripada empat beradik itu baru saja menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Changlun, Kedah, awal tahun ini dan kini sedang menunggu tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti.
Malah, Abd Razak berkata, anaknya dikatakan tidak menunjukkan tanda pelik, cuma agak ceria ketika bersarapan bersama di sebuah warung sebelum arwah bertolak ke Mersing, pagi kelmarin.
“Kira-kira jam 5 petang kelmarin, saya menghubungi memaklumkan kematian datuk dan dua beradik bercadang bertolak pulang ke Kemaman pada sebelah malam.
“Namun, kami sekeluarga membantah dan menyuruh mereka pulang pada waktu siang kerana bimbang jika memandu dalam cuaca gelap. Namun kepulangan mereka membawa satu lagi berita sedih buat kami sekeluarga,” katanya sebak.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, mengesahkan kejadian itu dan mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas kereta berkenaan terjunam ke dalam sungai, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Difahamkan, selepas terjatuh ke dalam sungai, kereta dinaiki dua beradik itu terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas sebelum dikeluarkan orang awam.
(Harian Metro, Khamis,14 Mei 2009)
2 comments:
Salam takziah buat keluarga kak izati... Sesungguhnya dari ALLAH SWT kita datang, kepada-Nya jualah kita dikembalikan... =(
condolence to izati's family...
Al-Fatihah
Post a Comment